Assalamualaikum,
Alhamdulillah syukur kepada Allah swt yang telah menciptakan kita, yang mengatur segala pergerakan di alam ini, yang menghidupkan dan yang mematikan kita. Syukur juga kepada Allah swt, kerana telah mengurniakan kepada kita suatu nikmat yang sangat besar iaitu ” Iman dan Islam”, yang mana dengan nikmat ini Allah swt akan menyelamatkan kita daripada azab Allah yang maha dahsyat. ” Daripada Hadrat Anas r.anhu meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda : ” Akan dikeluarkan setiap orang daripada api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah Lailaha illallah dan terdapat kebaikan walaupun sebesar biji gandum dalam hatinya. Kemudian akan dikeluarkan daripada api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah Lailaha illallah dan terdapat kebaikan walaupun sebesar biji barli dalam hatinya. Kemudian akan dikeluarkan daripada api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah Lailaha illallah dan terdapat kebaikan walaupun sebesar biji sawi dalam hatinya. ” ( Riwayat Bukhari )
Sesungguhnya kehidupan dunia ini merupakan kehidupan yang sangat-sangat sementara. Sekiranya kita memperolehi kesenangan, ia merupakan kesenangan yang sementara dan begitu juga sekiranya di dunia ini kita beroleh kesusahan ianya merupakan kesusahan yang sementara sahaja. Allah swt telah membuat satu ketetapan yang mana sekiranya manusia dapat taat segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya, maka Allah swt akan memberi kejayaan kepadanya bukan sahaja di dunia, malahan Allah swt akan memberi kejayaan di Akhirat yang mana merupakan suatu kehidupan yang kekal selama-lamanya. Sekiranya dalam kehidupan Akhirat, Allah memberikan kesenangan ia merupakan kesenangan yang hakiki yang tak akan habis, manakala sekiranya Allah mendatangkan kesusahan ia merupakan kesusahan yang tiada penghujungnya. Jadi dalam kehidupan yang sementara ini marilah kita bersama-sama berusaha atas iman dan amal kita agar sempurna sebelum kita bertemu dengan Allah swt.
Firman Allah swt : ” Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. ( Surah At-Taubah ayat 18 )
Leave a comment